Monday, March 02, 2009

Kursus Asas Imam Bilal


Hmmm, rasanya macam da lama pulak tak menulis sejak mula bertugas kembali. Banyak tajuk dah ada cuma masa ajer yg kena ambil dengan perkara-perkara lain... Tapi insyaAllah akan ditambah pada minggu ini.

Memandangkan belum tulis apa-apa, saya letakkan poster ini untuk manfaat bersama insyaAllah. Sampai-sampaikanlah... Terima Kasih =))

Sunday, February 15, 2009

"VroOm..VroOm...VrooooOOOOOM"

"Keting...ting..ting..ting....", "kring...ring..ring..ring... ", "dhu...dhu..dhu....", "Vroom...VroOm...vrooOOMM.."

Pasti pembaca tahu bunyi apa itu... Itulah di antara bunyian nafas motosikal dari kuasa cc yang paling kecil hinggalah ke cc yang teramat besar.

InsyaAllah pada kesempatan ini saya ingin kongsikan keperihatinan saya mengenai motosikal. "Alah kalau nak mudah, haramkan saja motosikal tu... hilang masalah..." Ish nanti dulu! Saya bukan nak cerita mengenai hukum naik motosikal, tapi saya nak cerita pasal benda lain nih!

Begini, sebenarnya selain dari isu motosikal itu sendiri yang sering kedengaran negatifnya, ada lagi isu lain yang saya rasa amat penting tetapi semakin tidak diberikan perhatian. Isunya ialah pembonceng motosikal!

Sejak pulang ke tanah air lebih kurang 3 tahun yang lalu, saya melihat kekerapan pembonceng perempuan dikalangan remaja semakin meningkat. Lebih-lebih lagi apabila sudah ada khidmat penghantaran makanan atau barangan yang semakin meluas.

Maksudnya, dengan ada permintaan pada khidmat tersebut, maka bertambahlah bilangan motosikal di jalan raya yang dimiliki oleh remaja. Ini kerana dengan melakukan kerja sambilan, remaja lebih berkemampuan untuk memiliki motosikal yang harganya juga bertambah murah. Berbeza dengan zaman dahulu yang mana harganya agak tinggi.

Antara kesan negatif yang timbul dari perubahan ini ialah isu memboncengkan mereka yang berlainan jenis ataupun "kekasih" mereka.

Secara umumnya, pembonceng yang berlainan jenis ini boleh saya bahagikan kepada dua kumpulan; pertama adalah mereka yang kurang pengetahuan agamanya dan sudah terbiasa, kedua adalah mereka yang mempunyai pengetahuan agama dan baru berjinak-jinak nak membonceng.

Izinkan saya memperkecilkan skop saya pada kesempatan ini kepada kumpulan yang kedua. Bukan bertujuan untuk mengetepikan kumpulan yang pertama, tetapi saya ingin mengunakan pendekatan "pencegahan". Ini kerana kumpulan yang pertama isunya bukan sekadar membonceng, namun terdapat banyak lagi isu lain yang tersembunyi di dalamnya yang memerlukan usaha yang banyak selain ia merupakan "cabaran" yang telah lama menghantui para asatizah.

Kini isu yang kedua pula menjadi kebimbangan. Apabila mereka yang sudah mempunyai pendidikan asas agama juga terjerat dan terjerumus kepada isu ini. Apakah yang menyebabkan mereka terjerumus dalam isu ini?

Mungkin pada kaca mata mereka, membonceng motosikal bersama "kekasihnya" dilihat
cool dan membanggakan kepada kawan-kawan mereka yang terpaksa menggunakan pengangkutan awam, atau kerana keseronokkan yang ada pada motosikal itu yang mempercepatkan perjalanan ke destinasi, atau ini adalah peluang untuk mereka "lebih berkasih sayang" sesama mereka.

Inilah di antara keindahan dan kenikmatan yang mereka rasakan apabila membonceng motosikal. Adakah keindahan dan kenikmatan ini benar???

Menurut saya yang sendiri menunggang motosikal, sebenarnya tidak
cool langsung melihat gadis remaja "beragama" yang menumpang motosikal kekasihnya bahkan ia sungguh tidak manis! Kerana mereka belum bernikah! Kedua mereka akan diselubungi dengan bauan asap motosikal. Ketika pakaian mereka yang cantik dan mungkin mahal akan tercemar kepada kekotoran yang ada di jalan raya, contoh percikkan air dari lori sampah! Keempat, mereka lebih terdedah kepada kecederaan atau kematian, jika berlaku sebarang kemalangan kerana mereka tidak tahu bagaimana untuk bereaksi!

Malang memang tidak berbau -walaupun kadang-kala berbau, namun kita tidak dapat mengelaknya!- jadi apakah agaknya kesan yang akan timbul jika nahas berlaku sedang pembonceng berada dalam keadaan yang "kurang baik" ini? Tidakkah ini akan lebih mengejutkan ibu-bapa mereka yang baru tahu? Tidakkah mereka dan ahli keluarga mereka akan merasa malu, bersama saudara-mara serta kenalan-kenalan mereka? Perlu saya ingatkan di sini ialah mereka ini adalah remaja-remaja yang telah mempunyai pendidikan asas agama!! Berbeza dengan mereka yang belum mengetahuinya.

Bagi pemilik motosikal pula, banyak di antara mereka yang sangat mengalu-alukan kedatangan pembonceng motosikal berlainan jenis -siap tampal sticker "Female Pillion Needs Urgently" lagi!- lebih-lebih lagi yang baru sahaja mendapatkan lesen menungang!! Tapi tahukan mereka dengan lulusnya mereka mendapat lesen bukan bererti mereka telah mahir! Sebabnya itu semuanya adalah teori dan "praktikal" rekaan semata-mata, pengalamanlah yang akan membawa kepada kemahiran. Dan pengalaman juga bukan terhenti selepas 1-2 tahun sebaliknya tiada hentinya. Makanya para pembonceng jangan terlalu yakin dengan orang yang baru saja lulus!!

Adakah penunggang motosikal akan bertanggungjawab jika berlaku sebarang kemalangan kepada anak gadis orang? Tidakkah mereka rasa bersalah dengan mendahulukan keinginan atas agama?? Tidakkah bertambah kesalahannya lagi apabila mereka berdua mempunyai pendidikan asas agama???

Keinginan telah menguasai fikiran. Itulah kesannya apabila keinginan yang jahat tidak lagi dapat dikawal. Allah SWT ada berfirman yang bermaksud "Sesungguhnya nafsu manusia itu sangat menyuruh melakukan kejahatan kecuali orang-orang yang telah diberi rahmat oleh Tuhanku" (Yusuf:53)

Ya ada yang mengatakan pembonceng yang nak sangat... Ya ada yang mengatakan terpaksa kerana motosikal pembonceng yang bayar atau belikan... kami dah tunanglah... alah ibu-bapa kami berdua tahu mengenainya...

Tapi tepuk sebelah tangan saja tidak akan berbunyi! Kalau tak mampu jangan beli! Pertunangan tidak menghalalkan segalanya!! Redo ibu-bapa kepada sesuatu yang berunsur maksiat tidak bermakna akan mendapat keredoan dari Pencipta!!!

Kesimpulannya, saya ingin menasihati diri saya serta pembaca dikalangan remaja ataupun pembaca yang mempunyai adik beradik pada usia remaja atau pembaca yang mempunyai anak remaja untuk memberikan perhatian yang serius akan hal ini.

Kepada remaja penunggang & pembonceng;
  1. Ingatlah keseronakkan itu tidak akan berkekalan, janganlah disebabkan keseronokkan kita gadaikan nilai kehidupan Islam kita. Waktu berseronok memanglah indah bersama, tetapi apabila dah tersorok tinggalah awak seorang diri!
  2. Janganlah berbangga atau berbesar diri dengan apa yang ada, kerana berbesar diri merupakan sifat SYAITAN dan merupakan SYIRIK kecil! Kalau merasai diri sendiri sudah hebat, sebenarnya ada lagi yang hebat dan itu tidak akan berakhir kecuali dengan masyaAllah.
  3. Ketahuilah "Value" anda juga berkurangan selepas dibawa ke hulu ke hilir yang kemudiannya tidak menjadi =(
  4. Hargailah "nikmat" Allah yang diberikan serta syukurilah akan nikmat itu dengan perkara yang bermanfaat agar mendapat keberkatan dari-Nya.
  5. Tolong jangan sekali-kali memulakannya, jika sebelum ini belum pernah kita lakukan!!
  6. Kalau nak rasa menunggang & membonceng, tunggulah sehingga berumahtangga.
  7. Bertaubatlah dengan sebenarnya jika pernah melakukannya.

Kepada yang mempunyai adik-beradik remaja atau anak remaja;
  1. Membonceng bersama pasangan yang belum halal adalah Haram!
  2. Bimbinglah mereka dan sedarkanlah mereka dari alam fantasi ini.
  3. Perkayakan diri anda dengan memberikan kawalan yang sewajarnya kepada diri mereka.
  4. Ingatlah anak-anak merupakan amanah dari Allah, janganlah kerana anak-anak mereka terpaksa memikul dosa.
  5. Jadikanlah anak-anak ini aset atau saham mereka di akhirat kelak dan bukan fitnah atau perhiasan dunia yang akan mengheret mereka ke nereka.
  6. Pencegahan itu adalah lebih baik dari mengubati.
Masih tidak terlambat untuk kita semua kembali, kita hanya menjadi lambat jika selepas ini masih melakukan lagi!!!

Maksud dari Sabda Rasululullah s.a.w "Setiap anak adam itu ada melakukan kesilapan, dan sebaik-baik orang-orang yang melakukan kesilapan adalah mereka-mereka yang bertaubat" atau seperti yang dikatakan.

Semoga Allah memelihara kita dan keturunan kita dari hal-hal yang sedemikian.

Wallahu ta'alah a'lam


P/s: Mungkin ada yang mengatakan macam mana saya tahu, mungkin saja mereka itu pasangan muda yang sudah berumahtangga atau adik beradik.. Saya berdoa mudah-mudahan itulah yang terjadi ;).

Monday, February 09, 2009

"Doakan saya yer..."

Alhamdulillah atas segala nikmat-Nya, pada pagi ini kita masih lagi diberikan kesempatan untuk kita menjalankan tugas sebagai hamba-Nya, mendapat nikmat penafasan, kesihatan dan bebagai macam lagi nikmat yang dicurahkan-Nya.

Hmmm, baiklah pada kesempatan kali ini, saya ingin berkongsi sama akan suatu perkara yang ringan dan ringkas sahaja.

Begini, tadi pagi ketika saya ingin mengambil wudu', tiba-tiba saya terfikirkan sesuatu! Saya terfikir kadang-kala kita bertemu dengan kawan-kawan kita atau kenalan kita dan kemudiaanya kita meminta mereka mendoakan kita. Mendoakan agar kita diberikan kebaikan, kesihatan, penyembuhan, kekuatan, ketabahan, mendapatkan kelulusan, membuat pilihan yang terbaik, dipermudahkan urusan dan sebagainya. Permintaan seperti ini juga tidak terbatas hanya apabila kita bertemu, kadang-kala ia berlaku sedang kita sms, chat, e-mail, facebook dan sebagainya. Pada kebiasaannya, orang yang diminta itu pula akan mengatakan insyaAllah saya akan mendoakan awak.

Namun yang menjadi tanda tanya, apabila kita meminta agar seseorang itu mendoakan kita, adakah kita benar-benar memohon agar didoakan ataupun hanya untuk menyedapkan perbualan sahaja?? Bagaimana pula orang yang diminta? Adakah mereka akan benar-benar mendoakan kita? ....Tidak kiralah, jika kita yang meminta didoakan ataupun kita yang diminta untuk mendoakan.

Saya yakin para pembaca pasti pernah mengalami situasi seperti ini. Apakah respon yang pembaca dapat atau apakah respon pembaca???

Sebenarnya, apabila seseorang itu memohon agar didoakan, pada umumnya atau kebiasaannya orang itu memang benar-benar minta untuk didoakan! Ini kerana orang itu sendiri yang memulakannya dan ini merupakan gerakkan "dalaman" yang biasanya tidak diperhatikan atau tidak dirasai.

Berlainan dengan orang yang diminta mendoakan, apabila mereka mengatakan yang mereka akan mendoakan orang tersebut, umumnya atau kebiasaannya ia hanya terhenti di situ sahaja atau dengan ucapan insyaAllah. Sedangkan selepas berpisah, apa yang dijanjikannya itu dilupai dan tidak diingati di dalam doanya.

Terjadi tidak perkara ini dalam diri pembaca??? Saya perhatikan perkara seperti ini banyak berlaku kepada masyarakat yang dibesarkan di rantau ini. Dan ini bukan suatu yang mustahil! Kerana orang Melayu ini lebih "beradab" dan lebih beralas. Oleh kerana itu, apa yang dituturkan berkemungkinan berbeza dengan apa yang ada di dalam hati. =)))

Berlainan dengan masyarakat arab yang saya perhatikan ketika berada di Mesir tidak lama dahulu, apabila kita memaklumkan akan masalah atau kepayahan kita, mereka akan segera mendoakan kita secara langsung, pada ketika itu juga! Tak kisahlah siapa orang itu, namun ini yang akan kita dapati daripada mereka. Saya mengira ini merupakan adat mereka dan telah pun menjadi kebiasaan mereka untuk saling mendoakan antara satu sama yang lain.

Ini merupakan satu cara yang sangat baik yang patut kita contohi! Selain dari mengikut apa yang diajarkan oleh Rasulullah s.a.w, ia juga akan melepaskan diri kita dari "berjanji palsu", mampu menenangkan jiwa orang yang meminta, merapatkan lagi hubungan kemesraan dan juga berkemungkinan doa itu dimaqbulkan pada ketika itu juga.

Aaah... makanya apabila pembaca menemui hal seperti ini pada masa akan datang, seeloknya pembaca langsung mendoakan secara serta merta. Tidak mengapa jika doa itu di dalam bahasa melayu seperti "semoga Allah memberikan kebaikan kepada awak, semoga Allah memberikan penyembuhan yang segera, atau semoga Allah memudahkan urusan awak, atau semoga Allah meluluskan awak dan sebagainya". Tidak perlulah kita nak membaca doa yang panjang -panjang sehingga memberatkan kita.

Namun pada pengamatan saya, alhamdulillah selepas diajari, banyak juga dikalangan belia-belia yang saya kenali telah mula melakukannya. Syabas saya ucapkan kepada mereka! Ini merupakan suatu permulaan yang baik. Ada juga yang tidak lupa mendoakan ketika di dalam solat mereka!

Cakap pasal doa ini, jangan pula kita lupa hendak memberi salam! Kerana salam itu juga merupakan doa!!

Wallahu ta'alah a'lam

Sunday, February 01, 2009

Khidmat Khatam Al-Quran Oleh Huffaz

Selepas selesai solat Subuh tadi pagi, saya ada terbaca komen Wak Cantuk di dalam ruangannya di akhbar Berita Minggu yang menanyakan mengenai status khidmat Khatam Al-Quran oleh Huffaz, yang ditwarakan oleh dua buah masjid di Singapura, dengan dinamakan sebagai Khidmat Eksklusif Mesra Keluarga & Mesra Masyarakat.


Mungkin bagi pembaca yang belum mengetahuinya, ia merupakan khidmat mengkhatamkan Al-Quran oleh para hafiz yang "diuntukkan" kepada keluarga, yang baru mendapat cahaya mata, pengantin dan juga para arwah.


Bagaimanakah pandangan pembaca akan tawaran ini? Adakah ia dibenarkan atau sebaliknya?

Sebenarnya tujuan saya menulis akan tajuk ini bukan sebagai jawapan atau respon yang diharapkan Wak Cantuk dari Pejabat Mufti. Namun ia merupakan respon atau pandangan saya yang tersendiri, yang mula saya rasai ketika kali pertama saya melihat iklan tersebut pada hari Isnin, 26 Januari 2009.


Hmmm... rasanya sebelum saya menjawab soalan tersebut, ada baiknya kalau saya menanyakan kepada pembaca apakah sebenarnya tujuan seseorang itu mengkhatamkan Al-Quran untuk keluarga, cahaya mata, pengantin dan juga arwah? Cuba pembaca renungkankan...

Pasti kebanyakkan dari pembaca akan mengatakan supaya mendapat keberkatan dari pembacaan tersebut. Tapi berkat apa pula yang akan didapati oleh para arwah yang sudah tiada di dunia ini? Hmmm... Entah eh, saya pun tak tahu, tapi mengapa masjid mengadakan khidmat tersebut???

Tahniah saya ucapkan kepada pembaca yang telah cuba menjawab persoalan saya tadi. =))) Sebenarnya "tujuan" dari pembacaan tersebut bagi mereka yang hidup bersama mereka yang sudah meninggal dunia adalah berbeza. Ini kerana satu sudah berada di alam barzakh (kubur) manakala satu lagi berada di alam nyata (dunia). Namun bagaimanakah mereka yang masih hidup boleh mendapat keberkatan darinya?

Seperti yang kita semua sedia maklumi, Al-Quran merupakan mukjizat terbesar bagi Nabi Muhammad s.a.w yang mana di dalamnya terdapat banyak kelebihan dan kebaikan.
Di antara kelebihan dan kebaikan yang ada di dalam Al-Quran ialah;

1- Ia merupakan kalamullah atau kekata Allah yang pastinya tiada kesilapan atau pembohongan di dalamnya

2- Mempunyai kebaikan yang besar sekali kepada pembacanya, iaitu setiap huruf diberikan ganjaran dengan 10 kabaikan atau ganjaran, selain mendapat cahaya di akhirat kelak

3- Merupakan petunjuk atau panduan kepada jalan yang benar untuk para pembacanya

4- Memelihara diri pembaca dari tipu daya atau fitnah kehidupan di dunia ini
5- Pembacanya akan diharamkan dagingnya dan darahnya dari dijilat api neraka

6- Memberikan semangat, ketenangan dan harapan bagi pembacanya

7- Mendapatkan kebaikan yang banyak, keluasan kepada ahli keluarganya, dihadiri malaikat, ditinggalkan para syaitan bagi rumah yang dibacai Al-Quran di dalamnya
8- Merupakan penawar bagi pelbagai penyakit

9- Merupakan tetamu Allah bagi mereka yang berada di dalam majlis yang dibacakan Al-Quran di dalamnya

10- Mendapat syafaat atau pertolongan bagi pembacanya
dan sebagainya sepertimana yang diwaridkan atau yang diriwayatkan di dalam Al-Quran itu sendiri mahupun dari sunnah Nabawiyyah.


Jika kita lihat di antara kebaikkan atau kehebatan Al-Quran yang saya tukilkan di atas ini pastinya semua di antara kita menginginkannya. Namun jika dikaitkan kembali akan khidmat yang ditawarkan oleh dua buah masjid itu, adakah kelebihan tersebut akan tercapai dan diperolehi oleh mereka yang mendapatkan khidmat tersebut? Apakah mereka akan mendapat kepuasan yang hakiki?

Mungkin antara persoalan bagi sebahagian khidmat tersebut:
1- Khatam Quran untuk keluarga;

- Bagaimanakah sebuah keluarga itu mampu mendapatkan keberkatan dari pembacaan tersebut jika keluarga itu sendiri tidak membaca Al-Quran di rumah mereka?

2- Khatam Quran untuk Cahaya Mata;

- Bagaimanakah seorang cahaya mata yang baru dilahirkan akan mendapat keberkatan dari Al-Quran jika sedikit pun dari pembacaan tersebut tidak kedengaran di telinga bayi tersebut?

3- Khatam Quran untuk Pengantin;

- Bagaimanakan pasangan tersebut akan terpandu dengan apa yang diajarkan dari Al-Quran jika pasangan tersebut tidak membaca garis pandu berumah tangga sepertimana yang ada di dalam Al-Quran?


4- Khatam Quran untuk Arwah;

- Bagaimanakah keberkatan Al-Quran itu akan sampai kepada para arwah yang ditujukan jika pembaca atau orang yang mengupah hufaz untuk membaca tidak jelas akan apa yang sebenarnya ingin dikirimkan?

Sekarang ini apakah pandangan pembaca? Adakah khidmat ini dibolehkan ataupun tidak??? Saya yakin pasti ada di antara pembaca yang bertambah keraguannya dan mengambil keputusan untuk mengatakan tidak boleh! Namun saya nasihatkan agar pembaca terus membaca perenggan selanjutnya... =)))

Sebenarnya, bagi pandangan saya, jika kita inginkan matlamat itu tercapai, kita masih lagi boleh menggunakan khidmat yang ditawarkan oleh dua buah masjid itu, TETAPI ia perlulah mempunyai kerjasama antara kedua-dua buah pihak.


Maksudnya, selain dari kita menyuruh para hafiz membacanya, kita juga sepatutnya memainkan peranan untuk membaca sebahagian dari ayat Al-Quran tersebut. Seperti contoh para hafiz membacakan 25 juz pertama, sedangkan para ahli keluarga membaca 1 juz bagi setiap seorang bagi 5 juz terakhir. Kemudiannnya apabila hampir selesai pembacaan itu, ahli keluarga menghadiri atau menjemput para hafiz datang ke rumah atau ke masjid untuk majlis khatam Al-Quran tersebut, yang mana kita semua sedia maklumi akan kelebihan dan kebaikan yang banyak yang ada pada majlis seperti itu. Kesimpulannya ia seperti majlis khatam AL-Quran beramai-ramai.

Dengan cara ini, pengupah dan juga yang menerima upah mendapat manfaat dari pembacaan tersebut. Ini kerana, kita pastinya tidak mahu Al-Quran yang sepatutnya menjadi hujjah untuk kita terbalik menjadi hujjah ke atas kita. Mengapalah pula?


Kerana kita tidak mahu di golongkan ke dalam golongan yang membaca Al-Quran tetapi tidak terpelihara dari api neraka disebabkan bacaan tersebut hanyalah semata-mata untuk kita dipanggil sebagai "Qari" iaitu pembaca Al-Quran. Maksudnya kita hanya inginkan nama atau title sahaja sepertimana yang disabdakan Rasulullah s.a.w di dalam hadithnya.


Saya sendiri rasakan - mungkin saya salah - kebanyakkan mereka yang menggunakan khidmat tersebut inginkan "nama" tersebut sebagai salah satu tujuan mereka. Maka pihak yang menyediakan khidmat tersebut perlulah jelas dan faham akan khidmat tersebut terlebih dahulu dan kemudiannya menjelaskkanya kepada mereka yang ingin melanggani khidmat tersebut. Namun secara jujurnya saya pun tidak pasti samada pihak masjid ada mengadakan penjelasan demikian dan mengadakan majlis khas khatam Al-Quran untuk pelanggan mereka. Mudah-mudahan ada tetapi tidak ternyata di akhbar =)))

Mengenai "tujuan" pembacaan tersebut untuk para arwah pula, ialah untuk mensedeqahkan pahala (jika ada dari pembacaan tersebut) kepada para arwah yang ditujukan. Ataupun pembacaan tersebut sebagai wasilah untuk Allah SWT memakbulkan/menerima doa permohon agar para arwah diampunkan dosanya dan digolongkan ke dalam golongan orang-orang yang soleh. Perkara ini perlu jelas kepada semua pihak baik pembaca atau ahli keluarga. Ia juga tidak boleh dijadikan sebagai satu pesta untuk mengingati akan kematian tersebut.


Manakala mengenai bayaran bagi khidmat tersebut pula, ia tidaklah menjadi masalah, ini kerana berpandukan sabda Rasulullah s.a.w yang bermaksud "Sesungguhnya yang paling berhak untuk kamu mengambil upah ialah dengan melalui Al-Quran" atau sepertimana yang disabdakan.

Selagimana pembaca tersebut membacanya dengan keinginannya dan kerelaannya, dan mereka diberikan ganjaran atas pembacaan tersebut dengan redo dan tanpa paksaan atau penetapan, maka insyaAllah ganjaran yang diberikan yang diikuti dengan perasaan redo akan menjadi halal berdasarkan hadith yang ditukil sebentar tadi.


Akhir sekali, alangkah baiknya jika majlis khatam Al-Quran itu diterajui oleh ahli keluarga itu sendiri bagi mendapatkan kebaikan dan keberkatan yang maksimum. Namun bagi yang belum berkemampuan untuk mengkhatamnya, ini boleh dijadikan sebagai satu wadah untuk mencetuskan semangat untuk mempelajari dan mengkhatam Al-Quran.

Wallahu ta'alah a'lam =))

Umat Islam Di Masjid

Apabila kita terdengar ucapan "Islam" apakah perkara pertama yang kita bayangkan? Bagaimana pula kalau kita terdengar ucapan "Muslim"??? Cuba anda pejamkan mata anda dan lihat apakah bayangan pertama yang anda lihat sekarang ini!

Ish... saya suruh cuba bayangkan, tapi mengapa masih ada yang terus membaca!

Ok2, bagi yang sudah melakukannya saya ucapkan tahniah! Tetapi bagi yang belum, saya memberikan peluang sekali lagi =)))

Pastinya sekarang ini ada di antara pembaca yang mendapat dua gambaran yang sama antara Islam dan Muslim dan begitu juga ada yang mendapat gambaran yang berbeza!

Namun pada kesempatan ini, saya ingin berkongsikan akan dapatan yang kedua iaitu gambaran yang berbeza.

Tercetusnya idea ini bermula sejak seminggu yang lalu, di mana hati saya asyik tertanya-tanya apakah sebenarnya masalah dengan agama Islam. Hati saya rasa kurang puas dan tidak senang dengan apa yang berlaku. Saya rasakan seolah-olah ada beberapa perkara yang ganjil dan tidak sesuai di sini. Contohnya usaha baik badan Islam mengadakan dialog silang agama, permasalahan orang Islam, orang Islam yang disifatkan hanya mengambil manfaat dari usaha orang yang bukan Islam, orang Islam yang menghadapi pelbagai penyakit dan sebagainya. Pendek kata orang Islam banyak masalahnya!

Rasanya jika saya ingin berkongsikan semuanya pada kesempatan ini, ia akan menjadi terlalu banyak dan tidak terarah, maka oleh itu saya mengecilkan skop saya dengan mengkongsikan mengenai perbezaan umat Islam ketika berada di Masjid.

Saya akan mulakan dengan pengalaman saya ketika dirawat di sebuah hospital swata yang dikendalikan oleh badan Kristian pada tahun 2007. Di saat beradanya saya di sana, saya telah berpeluang untuk menghadiri majlis ibadah mereka yang berlangsung pada hari Ahad selama 3 minggu. Perlu saya tekankan di sini bahawa hadirnya saya ke majlis ibadah mereka bukan untuk mengakui atau mengiktiraf akan apa yang mereka lakukan, namun adalah untuk mengetahui apa yang berlaku di dalamnya. Ini kerana terdapat hadith yang melarang tindakan sedemikian.

Hmmm... Sebaik saja saya dibawa masuk ke dewan itu, saya dapat merasakan semangat yang kuat memenuhi ruang dewan tersebut. Ia dimulakan dengan nyayian (prayer) yang boleh dikatakan kesemua pengikutnya menyertai nyayian tersebut dengan berdiri beramai-ramai dipenuhi dengan semangat sambil menjiwai apa yang mereka nyayikan... Lirik atau pengisian nyayian tersebut boleh saya katakan sebagai memupuk jiwa pengikutnya untuk mencintai apa yang disifatkan "anak tuhan" dengan mensyukuri segala kenikmatan yang telah mereka kecapi selama ini...

Ooops! Pada saat itu, apa yang saya buat yer? Saya memang boleh berdiri tapi... Argh saya peduli apa, saya duduk ajer di atas kerusi roda sambil melihat lirik nyayian tersebut di atas pentas... heheh. Lagipun rasanya mereka faham akan keadaan saya pada ketika itu... =)))

Selepas nyayian tersebut, aturcara selanjutnya ialah "khutbah" yang disampaikan oleh Imam mereka. Hmmm, pada ketika "khatib" menyampaikan khutbahnya ada di antara mereka yang bersemangat dan ada di antara mereka yang agak "keletihan" namun kebanyakkan mereka bersemangat. Mengenai isi khutbahnya pula, menurut saya biasa-biasa sahaja dan boleh dianggap sebagai satu yang asas mengenai agama mereka. "Point"nya dua tiga sahaja, selainnya penerangan dan ulang mengulang. Penyampainya pun agak biasa-biasa sahaja, hanya usahanya untuk meyakinkan pengikutnya dapat dirasai.

Selepas dari itu, "khatib" akan membacakan doa sedangkan pengikutnya hanya mendengar dan menghayati apa yang dipohonkan. Kandungan doanya pula lebih kepada memohon kemaafaan akan apa yang telah mereka lakukan, dan mengesa para pengikutnya memaafkan apa yang telah dilakukan oleh musuh-musuh mereka.

Selepas itu, terdapat beberapa upacara lain mengikut "mingguan" seperti, mengucapkan tahniah kepada pasangan yang beru mendapatkan cahaya mata, mengambil derma dari hasil gajian bulanan mereka, upacara baptis, mematahkan roti kering untuk dicicahkan dengan wine dan sebagainya.

Kemudian ia diakhiri dengan nyayian (prayer) sekali lagi yang bertemakan perkara yang sama iaitu memupuk kecintaan kepada agama mereka.

Sebaik sahaja saya pulang ke katil saya, secara jujur saya dapat bayangkan bahawa jika yang hadir di majlis itu merupakan mereka yang mempunyai jiwa yang kosong, kurang pengetahuan agamanya, dan di dalam keadaan kesedihan, pastinya mereka akan tertarik untuk memasuki agama tersebut! Sebabnya adalah kerana perasaan kasih dan sayang yang benar-benar wujud dan dirasai sesama mereka.

Jika saya ingin membandingkan dengan apa yang berlakudi masjid pada hari jumaat, ia boleh dikatakan hampir sama. Namun ada beberapa perbezaan yang saya kira ada membawa kesan kepada kehidupan muslim di Singapura secara khusus.

Sebagai contoh;

1-Orang Islam mengerjakan solat Jumaat di tengah-tengah waktu bekerja dan bersekolah yang pada kebiasaanya mereka agak keletihan sedangkan orang Kristian mengerjakannya pada hari cuti iaitu hari Ahad pagi di dalam keadaan segar bugar dan bersama seluruh ahli keluarga. Berlainan dengan negeri Arab yang bercuti pada hari Jumaat.

2-Orang Islam memulakan Jumaatnya dengan mandi Jumaat(bagi yang berpeluang) dan berwudu' diikuti dengan azan Jumaat dan solat sunnah. Sedangkan orang Kristian memulakannya dengan solat yang berbentuk nyayian sebagai pembakar semangat mereka.

3-Khutbah yang disampaikan kepada orang Islam menyentuh pelbagai bidang mengikut bulan yang kemudiannya akan dikaitkan dengan ajaran Islam. Rata-rata pendengarnya hanya "mengiakan" sahaja, mungkin disebabkan keletihan atau penyampaiannya kurang berkesan atau sebagainya. Manakala pengikut kristian dengan kesegaran mereka mendengar apa yang disampaikan walaupun kadang-kala isi kandungan mereka kurang menarik.

4-Khutbah akan diakhiri dengan doa yang akan dibacakan oleh kedua-dua "Imam" mengikut agama masing-masing. Di sini terdapat perbezaan yang sangat besar sekali, di mana mereka yang beragama Islam kebanyakkannya terus "mengiakan" sahaja doa yang dibaca tanpa memahami isi kandungannya dan diterukkan lagi dengan tiadanya semangat yang bersungguh-sungguh seperti yang sepatutnya. Sedangkan mereka yang beragama kristian, selain dari memahami apa yang mereka pohonkan, mereka lebih kelihatan bersungguh-sungguh melakukannya.

5-Solat yang dilakukan oleh orang Islam pula kebanyakkannya hanya untuk melepaskan kewajipan Jumaat tanpa merasakan perasaan takut, bangga, gembira serta kepuasan melakukannya, sedangkan orang kristian melakukannya dengan penuh semangat, bangga dan kepuasaan yang dapat dilihat dari wajah mereka, seolah-olah mempunyai therapeutic effects!

Kesimpulannya, adakah ini di antara kesan yang menyebabkan hilangnya sifat kebanggaan kepada ajaran Islam, hilangnya sifat rahmah kepada semua, hilangnya serapan nilai-nilai murni Islam di dalam jiwa pengikutnya, mundurnya orang Islam di dalam pelbagai bidang???

Bukankah ini di antara unsur-unsur yang membawa kepada gambaran yang kedua seperti yang dinyatakan diawal tadi?

Saya pun tidak pasti, mungkin sedikit sebanyak ia ada mempengaruhinya.

Namun yang pastinya, sifat-sifat murni yang ada pada agama Islam perlu diberikan perhatian yang serius! Penghayatan kepada ajaran Islam yang sebenar perlu dilakukan oleh semua lapisan umur. Kerana dengan demikian umat Islam akan merasakan kepunyaan di dalam agama mereka dan kemudiannya akan melahirkan sifat bangga dengan agama Islam.

Wallhu ta'alah a'lam


Sunday, January 25, 2009

Adakah Nabi Muhammad s.a.w Itu Nur (Cahaya)?

Tak lama dahulu ada seorang yang menanyakan kepada saya mengenai adakah Nabi Muhammad s.a.w itu cahaya? Jadi saya rasakan ade baiknya kalau saya dapat kongsikan jawapannya di sini =)

Allah SWT ade berfirman dalam Al-Quran yang bermaksud:
"Wahai ahli Kitab! Sesungguhnya telah datang kepada kamu banyak dari (keterangan-keterangan dan hukum-hukum) yang telah kamu sembunyikan dari kitab suci, dan ia memaafkan kamu (dengan tidak mendedahkan) banyak perkara (yang kamu sembunyikan). Sesungguhnya telah datang kepada kamu cahaya kebenaran (Nabi Muhammad s.a.w) dari Allah dan sebuah Kitab (Al-Quran) yang jelas nyata keterangannya". (Al-Quran 5 : 15)

"Dan juga sebagai Penyeru (umat manusia seluruhnya) kepada ugama Allah dengan taufiq yang diberi-Nya, dan sebagai lampu yang menerangi". (Al-Quran 33 : 46)

Melalui dua ayat di atas ini, dapat kita fahami bahawa Nabi Muhammad s.a.w merupakan cahaya yang menerangi. Dan ia tidak menjadi satu kesalahan, jika seseorang itu mengatakan Nabi Muhammad s.a.w itu cahaya! Ini kerana Allah SWT sendiri telah memberikannya gelaran dan menyifatkannya sebagai demikian.

Perkara ini juga telah dikuatkan oleh sunnah bahawa para sahabat Nabi mengatakan : Sesungguhnya wajah Rasulullah s.a.w itu seperti bulan. Begitu juga seperti yang dikhabarakan para sahabatnya : "Sesungguhnya Nabi s.a.w ketika memasuki kota Madinah ia menerangi setiap sesuatu, dan apabila beliau meninggal dunia, gelap setiap sesuatu." dan selainnya dari athar dan hadith-hadith yang menyatakan bahawa Nabi Muhammad adalah cahaya.

Mengenai cahaya yang dapat dirasai pula, ia tidak perlu dinafikan di sini, kerana tiada sesuatu pun yang bercanggah dengan apa yang dikatakan; sesungguhnya Nabi Muhammad s.a.w itu menerangi, sepertimana tiada pencanggahan pada tabiat insannya yang dikhabarkannya di dalam Al-Quran.

Sebenarnya yang menjadi masalah di sini ialah jika seseorang itu menafikan bahawa Nabi Muhammad s.a.w itu adalah seorang insan! Ini kerana ia jelas bercanggahan dengan apa yang dikhabarkan oleh Allah SWT di dalam Al-Quran yang bermaksud:
" Katakanlah (Wahai Muhammad): Sesungguhnya aku hanyalah seorang manusia seperti kamu, yang diwahyukan kepadaku..." (Al-Quran 41 : 6)

Kesimpulannya, kita sebagai seorang muslim, wajib membenarkan serta menyakini segala apa yang telah ditetapkan oleh Allah SWT atas Nabi-Nya. Maka pada hal ini, kita perlu meyakini bahawa Nabi Muhammad s.a.w itu merupakan manusia yang sama seperti kita dan merupakan cahaya yang menerangi kegelapan.

Wallhu ta'alah a'lam

Gerhana Matahari Pada Hari Isnin, 26 Jan 2009

Mengikut sumber-sumber yang boleh dipercayai, gerhana matahari akan dapat dilihat di Singapura seperti berikut:



Gerhana bermula (bulan mencecah matahari) : 4:30 petang.
Kemuncak gerhana* : 5.49 petang.
Gerhana berakhir (bulan meninggalkan matahari) : 6:58 petang.

*Ketika ini bulan akan menutupi lebih kurang 80% permukaan matahari kerana Singapura tidak berada tepat pada jaluran gerhana.

Gerhana dapat dilihat sepenuhnya di pertengahan Indian Ocean jam 4 petang waktu Singapura.

So ape yang kita boleh lakukannya yer??

Kita pergi lihat ke langit lah!!! Oooops... tapi kalau nak lihat mesti mengunakan alat yang khas... itu pun kalau mata nak gunakan lama lah ;p

Tapi yang paling penting kita sebagai orang yang beragama Islam, paling kurang yang kita boleh mampu lakukan ialah dengan solat sunnah dua rakaat... Tahu tak caranya???

Kalau tak tahu teruskan membaca kat bawah nih k =))

P/s: Pic tu diambil pada 28 Ogos 07 ketika ade gerhana bulan... tapi tak nampak =(

Panduan Melaksanakan Solat Gerhana

SOLAT GERHANA


Solat sunnat gerhana dilaksanakan apabila terjadinya gerhana bulan (khusuf) ataupun gerhana matahari (kusuf). Hukumnya adalah sunnat muakkad dan ia boleh dilakukan secara persendirian ataupun berjamaah.

Solat gerhana dilakukan dengan bermulanya gerhana bulan ataupun matahari. Jika seseorang itu terleps dari waktu, dan telah selesai gerhana bulan atau matahari maka ia tidak perlulah mengqada'nya.

Jika dilakukan secara berjamaah, imam hendaklah bangun selepas solat untuk menyampaikan dua khutbah. Rukun dan syarat khutbah gerhana sama dengan rukun dan syarat khutbah Jumaat.


CARA SOLAT GERHANA

Terdapat dua cara untuk melakukannya:

1)Cara yang ringkas

Hendaklah dilakukan seperti solat sunnah yang lain dengan melakukan 2 rakaat berserta satu salam.


2) Cara yang panjang

Hendaklah dilakukan sebanyak 2 rakaat.
Pada setiap rakaat dilakukan 2 kali ruku' dan 2 kali Fatehah.
Dimulakan dengan Fatehah dan bacaan surah yang panjang
kemudian ruku' > I'tidal
kemudian bacalah sekali lagi surah Fatehah dan bacaan surah yang panjang
kemudian ruku' > dan I'tidal sekali lagi.
kemudian barulah sujud.

Cara ini juga dilakukan untuk rakaat yang kedua.

Setelah selesai hendaklah Imam bangun untuk menyampaikan dua khutbah.

Bahan asal dikeluarkan oleh:
Pejabat Mufti
Majlis Ugama Islam Singapura

Friday, January 09, 2009

Satu renungan selepas kejadian...



Mengapakah gambar ini menjadi pilihan bagi permulaan blog saya?

Hmmm, sebenarnya apabila melihat gambar ini, ia mengingatkan saya akan kemasukan saya ke hospital buat kali kedua selang 1 tahun 12 hari dari kali yang pertama.

Ketika kejadian itu berlaku, ia menyingkapkan kembali akan suasana ketika para belia beraya di rumah saya. Ishhh apa yang nak disampaikan nih??? Peninglah!!

Sebenarnya, ketika para belia datang beraya di rumah, saya berasa sangat bersyukur kerana pada tahun ini saya diberi kesempatan & nikmat untuk beraya dan melihat para belia berada di rumah saya. Namun perasaan kesyukuran itu diikuti dengan persoalan yang membuat saya termenung seketika. "Alhamdulillah, sekarang ini saya berada di dalam keadaan selesa, bagaimanakah keadaannya bila nikmat ini ditarik oleh Allah? Bagaimanakah saya akan hadapinya?" Di dalam keriangan dan kekecohan di rumah saya itu, hati saya hanya mampu berkata hanya Allah sahaja yang mengetahuinya…

Ape yang membuat saya bertambah terfikir ialah persoalan ini telah ditimbulkan pada tarikh yang sama iaitu 19 Okt!!! Ye 19 Okt 2007 soalan ini telah ditanyakan dan kali kedua 19 Okt 2008! Hmmm….

Mungkin bagi yang belum mengetahui, pada 20 Okt 2007 merupakan kecederaan saya yang pertama yang memasukkan saya ke hospital dan diberi cuti selama 133 hari sehingga awal bulan Mac.

Apakah lagi persamaannya? Kedua-duanya berlaku pada hari Sabtu pagi! Namun bukan itu sahaja, Jumaat yang sebelumnya juga merupakan giliran saya memberikan khutbah di sebuah masjid yang sama!

Aik… nape semuanya macam sama ajer! Ishhh da macam Final Destination! Hehehe … Ok relex janganlah serious sangat tuh ;p

Kecederaan kedua saya berlaku pada 1 Nov 2008 pada hari Sabtu.

Selepas saya memasukkan diri saya ke hospital secara sukarela, saya dimaklumkan bahawa saya perlu menjalani pembedahan kerana kecederaan saya ini sangat serious (Fractured Talus) walaupun tiada satu luka ataupun darah pada anggota saya. Hati terus berkata "alamak kenek masuk hospital lagik?"

Ketika menunggu giliran untuk dimasukkan ke dalam ward, fikiran saya tertanya2 adakah ini ujian yang tertanya sebelum ini? Nape saya diuji lagi? Apakah kesalahan yang telah saya lakukan? Bibir saya hanya mampu mengukirkan doa "Allahumm'ajurni fi musibati wa akhlifli khairan minha" (Ya Allah berikanlah ganjaran atas musibah ini dan gantikanlah yang baik darinya)…

Ringkasnya, selepas saya dimasukkan ke dalam ward, saya mendengar akan rakaman khutbah saya melalui MP3 yang ada bersama saya. Ketika mendengarnya tiba-tiba terdengar sebuah hadis yang mengingatkan saya seraya memberikan kekuatan kepada diri saya…

Hadithnya bermaksud : "Begitu istimewa kehidupan seorang yang beriman. Kehidupannya semuanya baik belaka, dan keadaan itu hanya dapat dirasa oleh orang yang beriman. Apabila ia mendapat kesenangan ia bersyukur, dan itu adalah baik baginya, dan apabila ia ditimpa kesukaran, ia bersabar, maka kesabaran itu adalah baik baginya"

Hadith ini benar2 memberikan kesan dan kekuatan kepada saya untuk menempuhi ujian itu. Dengan berada seorang diri di hospital tanpa pengetahuan ahli keluarga baik ketika "operation" dijalankan sehinggalah hari ke-4 saya berada di sana, saya mencari-cari akan hikmah yang ada dari ujian tersebut.

Alhamdulillah, walaupun saya terpaksa berada di rumah selama 114, saya telah temui beberapa hikmah yang ada dari banyak lagi hikmah yang belum saya temui.
Memang benar sekali kekata "setiap yang berlaku pasti ade hikmahnya".

Pengajaran yang saya dapat dari pengalaman saya ini ialah jangan naik kuda lagi! Tukar kuda lain! Eh bukanlah!!! Itu semua orang yang kata! hehehe

1- Tapi apa yang saya rasakan sendiri ialah sebenarnya apabila Allah swt menetapkan sesuatu perkara atas seorang hambanya, samada sesuatu yang kelihatan baik atau sebaliknya, ia sebenarnya merupakan sesuatu yang paling baik untuknya pada ketika itu, ini dikuatkan dengan hadis yang dituliskan di atas.

2- Selain dari itu juga, keimanan kita akan benar2 teruji bila kita menerima ujian yang tiba-tiba berlaku kepada kita.

3- Selain dari mendapat pembersihan dari dosa, orang yang diuji juga digesa untuk mencari hikmah dari apa yang berlaku.

Ini hanya merupakan 3 pengajaran yang saya nak kongsikan pada penulisan saya kali ini. Banyak lagi pengajaran yang saya perolehi dari peristiwa itu, namun berpadalah dengan yang 3 ini.

Akhir sekali, saya harapkan semoga perkongsian ini dapat memberi sedikit semangat dan kelegaan kepada pembaca yang sedang diuji atau akan diuji. Ingatlah apabila seorang itu diuji sebenarnya Allah swt menyayanggi hambanya itu.

Wallhu ta'alah a'lam =)