Sunday, February 01, 2009

Khidmat Khatam Al-Quran Oleh Huffaz

Selepas selesai solat Subuh tadi pagi, saya ada terbaca komen Wak Cantuk di dalam ruangannya di akhbar Berita Minggu yang menanyakan mengenai status khidmat Khatam Al-Quran oleh Huffaz, yang ditwarakan oleh dua buah masjid di Singapura, dengan dinamakan sebagai Khidmat Eksklusif Mesra Keluarga & Mesra Masyarakat.


Mungkin bagi pembaca yang belum mengetahuinya, ia merupakan khidmat mengkhatamkan Al-Quran oleh para hafiz yang "diuntukkan" kepada keluarga, yang baru mendapat cahaya mata, pengantin dan juga para arwah.


Bagaimanakah pandangan pembaca akan tawaran ini? Adakah ia dibenarkan atau sebaliknya?

Sebenarnya tujuan saya menulis akan tajuk ini bukan sebagai jawapan atau respon yang diharapkan Wak Cantuk dari Pejabat Mufti. Namun ia merupakan respon atau pandangan saya yang tersendiri, yang mula saya rasai ketika kali pertama saya melihat iklan tersebut pada hari Isnin, 26 Januari 2009.


Hmmm... rasanya sebelum saya menjawab soalan tersebut, ada baiknya kalau saya menanyakan kepada pembaca apakah sebenarnya tujuan seseorang itu mengkhatamkan Al-Quran untuk keluarga, cahaya mata, pengantin dan juga arwah? Cuba pembaca renungkankan...

Pasti kebanyakkan dari pembaca akan mengatakan supaya mendapat keberkatan dari pembacaan tersebut. Tapi berkat apa pula yang akan didapati oleh para arwah yang sudah tiada di dunia ini? Hmmm... Entah eh, saya pun tak tahu, tapi mengapa masjid mengadakan khidmat tersebut???

Tahniah saya ucapkan kepada pembaca yang telah cuba menjawab persoalan saya tadi. =))) Sebenarnya "tujuan" dari pembacaan tersebut bagi mereka yang hidup bersama mereka yang sudah meninggal dunia adalah berbeza. Ini kerana satu sudah berada di alam barzakh (kubur) manakala satu lagi berada di alam nyata (dunia). Namun bagaimanakah mereka yang masih hidup boleh mendapat keberkatan darinya?

Seperti yang kita semua sedia maklumi, Al-Quran merupakan mukjizat terbesar bagi Nabi Muhammad s.a.w yang mana di dalamnya terdapat banyak kelebihan dan kebaikan.
Di antara kelebihan dan kebaikan yang ada di dalam Al-Quran ialah;

1- Ia merupakan kalamullah atau kekata Allah yang pastinya tiada kesilapan atau pembohongan di dalamnya

2- Mempunyai kebaikan yang besar sekali kepada pembacanya, iaitu setiap huruf diberikan ganjaran dengan 10 kabaikan atau ganjaran, selain mendapat cahaya di akhirat kelak

3- Merupakan petunjuk atau panduan kepada jalan yang benar untuk para pembacanya

4- Memelihara diri pembaca dari tipu daya atau fitnah kehidupan di dunia ini
5- Pembacanya akan diharamkan dagingnya dan darahnya dari dijilat api neraka

6- Memberikan semangat, ketenangan dan harapan bagi pembacanya

7- Mendapatkan kebaikan yang banyak, keluasan kepada ahli keluarganya, dihadiri malaikat, ditinggalkan para syaitan bagi rumah yang dibacai Al-Quran di dalamnya
8- Merupakan penawar bagi pelbagai penyakit

9- Merupakan tetamu Allah bagi mereka yang berada di dalam majlis yang dibacakan Al-Quran di dalamnya

10- Mendapat syafaat atau pertolongan bagi pembacanya
dan sebagainya sepertimana yang diwaridkan atau yang diriwayatkan di dalam Al-Quran itu sendiri mahupun dari sunnah Nabawiyyah.


Jika kita lihat di antara kebaikkan atau kehebatan Al-Quran yang saya tukilkan di atas ini pastinya semua di antara kita menginginkannya. Namun jika dikaitkan kembali akan khidmat yang ditawarkan oleh dua buah masjid itu, adakah kelebihan tersebut akan tercapai dan diperolehi oleh mereka yang mendapatkan khidmat tersebut? Apakah mereka akan mendapat kepuasan yang hakiki?

Mungkin antara persoalan bagi sebahagian khidmat tersebut:
1- Khatam Quran untuk keluarga;

- Bagaimanakah sebuah keluarga itu mampu mendapatkan keberkatan dari pembacaan tersebut jika keluarga itu sendiri tidak membaca Al-Quran di rumah mereka?

2- Khatam Quran untuk Cahaya Mata;

- Bagaimanakah seorang cahaya mata yang baru dilahirkan akan mendapat keberkatan dari Al-Quran jika sedikit pun dari pembacaan tersebut tidak kedengaran di telinga bayi tersebut?

3- Khatam Quran untuk Pengantin;

- Bagaimanakan pasangan tersebut akan terpandu dengan apa yang diajarkan dari Al-Quran jika pasangan tersebut tidak membaca garis pandu berumah tangga sepertimana yang ada di dalam Al-Quran?


4- Khatam Quran untuk Arwah;

- Bagaimanakah keberkatan Al-Quran itu akan sampai kepada para arwah yang ditujukan jika pembaca atau orang yang mengupah hufaz untuk membaca tidak jelas akan apa yang sebenarnya ingin dikirimkan?

Sekarang ini apakah pandangan pembaca? Adakah khidmat ini dibolehkan ataupun tidak??? Saya yakin pasti ada di antara pembaca yang bertambah keraguannya dan mengambil keputusan untuk mengatakan tidak boleh! Namun saya nasihatkan agar pembaca terus membaca perenggan selanjutnya... =)))

Sebenarnya, bagi pandangan saya, jika kita inginkan matlamat itu tercapai, kita masih lagi boleh menggunakan khidmat yang ditawarkan oleh dua buah masjid itu, TETAPI ia perlulah mempunyai kerjasama antara kedua-dua buah pihak.


Maksudnya, selain dari kita menyuruh para hafiz membacanya, kita juga sepatutnya memainkan peranan untuk membaca sebahagian dari ayat Al-Quran tersebut. Seperti contoh para hafiz membacakan 25 juz pertama, sedangkan para ahli keluarga membaca 1 juz bagi setiap seorang bagi 5 juz terakhir. Kemudiannnya apabila hampir selesai pembacaan itu, ahli keluarga menghadiri atau menjemput para hafiz datang ke rumah atau ke masjid untuk majlis khatam Al-Quran tersebut, yang mana kita semua sedia maklumi akan kelebihan dan kebaikan yang banyak yang ada pada majlis seperti itu. Kesimpulannya ia seperti majlis khatam AL-Quran beramai-ramai.

Dengan cara ini, pengupah dan juga yang menerima upah mendapat manfaat dari pembacaan tersebut. Ini kerana, kita pastinya tidak mahu Al-Quran yang sepatutnya menjadi hujjah untuk kita terbalik menjadi hujjah ke atas kita. Mengapalah pula?


Kerana kita tidak mahu di golongkan ke dalam golongan yang membaca Al-Quran tetapi tidak terpelihara dari api neraka disebabkan bacaan tersebut hanyalah semata-mata untuk kita dipanggil sebagai "Qari" iaitu pembaca Al-Quran. Maksudnya kita hanya inginkan nama atau title sahaja sepertimana yang disabdakan Rasulullah s.a.w di dalam hadithnya.


Saya sendiri rasakan - mungkin saya salah - kebanyakkan mereka yang menggunakan khidmat tersebut inginkan "nama" tersebut sebagai salah satu tujuan mereka. Maka pihak yang menyediakan khidmat tersebut perlulah jelas dan faham akan khidmat tersebut terlebih dahulu dan kemudiannya menjelaskkanya kepada mereka yang ingin melanggani khidmat tersebut. Namun secara jujurnya saya pun tidak pasti samada pihak masjid ada mengadakan penjelasan demikian dan mengadakan majlis khas khatam Al-Quran untuk pelanggan mereka. Mudah-mudahan ada tetapi tidak ternyata di akhbar =)))

Mengenai "tujuan" pembacaan tersebut untuk para arwah pula, ialah untuk mensedeqahkan pahala (jika ada dari pembacaan tersebut) kepada para arwah yang ditujukan. Ataupun pembacaan tersebut sebagai wasilah untuk Allah SWT memakbulkan/menerima doa permohon agar para arwah diampunkan dosanya dan digolongkan ke dalam golongan orang-orang yang soleh. Perkara ini perlu jelas kepada semua pihak baik pembaca atau ahli keluarga. Ia juga tidak boleh dijadikan sebagai satu pesta untuk mengingati akan kematian tersebut.


Manakala mengenai bayaran bagi khidmat tersebut pula, ia tidaklah menjadi masalah, ini kerana berpandukan sabda Rasulullah s.a.w yang bermaksud "Sesungguhnya yang paling berhak untuk kamu mengambil upah ialah dengan melalui Al-Quran" atau sepertimana yang disabdakan.

Selagimana pembaca tersebut membacanya dengan keinginannya dan kerelaannya, dan mereka diberikan ganjaran atas pembacaan tersebut dengan redo dan tanpa paksaan atau penetapan, maka insyaAllah ganjaran yang diberikan yang diikuti dengan perasaan redo akan menjadi halal berdasarkan hadith yang ditukil sebentar tadi.


Akhir sekali, alangkah baiknya jika majlis khatam Al-Quran itu diterajui oleh ahli keluarga itu sendiri bagi mendapatkan kebaikan dan keberkatan yang maksimum. Namun bagi yang belum berkemampuan untuk mengkhatamnya, ini boleh dijadikan sebagai satu wadah untuk mencetuskan semangat untuk mempelajari dan mengkhatam Al-Quran.

Wallahu ta'alah a'lam =))

4 comments:

  1. Pandangan yg sgt jelas dan memuaskan.. Allah yubarik

    ReplyDelete
  2. Alhamdulillah... ]
    Amin...
    Syukran

    ReplyDelete
  3. aslkm ust irwan...
    bila nk update blog?
    teruskan. ust bz ke?

    ReplyDelete
  4. apa pandangan ustaz:- sekiranya tadarus al-quran di buat beberapa kumpulan kemudian dibahagi juzuk-juzuk kemudian setiap kumpulan membaca di tempat yang berlainan dan tidak berkesinambungan (maksudnya contoh di satu tempat A kumpulan 1 & satu tempat B kumpulan 2 mereka bertadarus dlm masa yang sama, kumpulan 1 & 2 tidak mendengar tadarus masing-masing). Kemudian pada penghujung Bulan mereka membuat keraian Majilis khatam Al-Quran. Apa pandangan Ustaz? Adakah boleh mereka khatam dengan cara ini?

    ReplyDelete