Sunday, January 25, 2009

Adakah Nabi Muhammad s.a.w Itu Nur (Cahaya)?

Tak lama dahulu ada seorang yang menanyakan kepada saya mengenai adakah Nabi Muhammad s.a.w itu cahaya? Jadi saya rasakan ade baiknya kalau saya dapat kongsikan jawapannya di sini =)

Allah SWT ade berfirman dalam Al-Quran yang bermaksud:
"Wahai ahli Kitab! Sesungguhnya telah datang kepada kamu banyak dari (keterangan-keterangan dan hukum-hukum) yang telah kamu sembunyikan dari kitab suci, dan ia memaafkan kamu (dengan tidak mendedahkan) banyak perkara (yang kamu sembunyikan). Sesungguhnya telah datang kepada kamu cahaya kebenaran (Nabi Muhammad s.a.w) dari Allah dan sebuah Kitab (Al-Quran) yang jelas nyata keterangannya". (Al-Quran 5 : 15)

"Dan juga sebagai Penyeru (umat manusia seluruhnya) kepada ugama Allah dengan taufiq yang diberi-Nya, dan sebagai lampu yang menerangi". (Al-Quran 33 : 46)

Melalui dua ayat di atas ini, dapat kita fahami bahawa Nabi Muhammad s.a.w merupakan cahaya yang menerangi. Dan ia tidak menjadi satu kesalahan, jika seseorang itu mengatakan Nabi Muhammad s.a.w itu cahaya! Ini kerana Allah SWT sendiri telah memberikannya gelaran dan menyifatkannya sebagai demikian.

Perkara ini juga telah dikuatkan oleh sunnah bahawa para sahabat Nabi mengatakan : Sesungguhnya wajah Rasulullah s.a.w itu seperti bulan. Begitu juga seperti yang dikhabarakan para sahabatnya : "Sesungguhnya Nabi s.a.w ketika memasuki kota Madinah ia menerangi setiap sesuatu, dan apabila beliau meninggal dunia, gelap setiap sesuatu." dan selainnya dari athar dan hadith-hadith yang menyatakan bahawa Nabi Muhammad adalah cahaya.

Mengenai cahaya yang dapat dirasai pula, ia tidak perlu dinafikan di sini, kerana tiada sesuatu pun yang bercanggah dengan apa yang dikatakan; sesungguhnya Nabi Muhammad s.a.w itu menerangi, sepertimana tiada pencanggahan pada tabiat insannya yang dikhabarkannya di dalam Al-Quran.

Sebenarnya yang menjadi masalah di sini ialah jika seseorang itu menafikan bahawa Nabi Muhammad s.a.w itu adalah seorang insan! Ini kerana ia jelas bercanggahan dengan apa yang dikhabarkan oleh Allah SWT di dalam Al-Quran yang bermaksud:
" Katakanlah (Wahai Muhammad): Sesungguhnya aku hanyalah seorang manusia seperti kamu, yang diwahyukan kepadaku..." (Al-Quran 41 : 6)

Kesimpulannya, kita sebagai seorang muslim, wajib membenarkan serta menyakini segala apa yang telah ditetapkan oleh Allah SWT atas Nabi-Nya. Maka pada hal ini, kita perlu meyakini bahawa Nabi Muhammad s.a.w itu merupakan manusia yang sama seperti kita dan merupakan cahaya yang menerangi kegelapan.

Wallhu ta'alah a'lam

No comments:

Post a Comment